Isnin, 17 Disember 2012

~ Tabahnya hati seorang IBU (part ii)



Dan ini cerita hari ini…

Jam 1 pagi, beliau telah berjaya dibedah dengan selamat. Walaubagaimanapun, beliau masih koma dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi 2. Ya semangatnya sangat tinggi. Beliau sangat kuat untuk meneruskan kehidupan bersama ahli-ahli keluarganya. “Alhamdulillah”. Berkat doa anak-anak dan ahli keluarga yang lain. Pagi ini, saya memohon kepada bos kedua di pejabat untuk membacakan Yassin untuk tok saya yang kini sedang berjuang dengan sakitnya di hospital. Alhamdulillah, bos saya pun tiada masalah. Lagipun setiap pagi Ahad, pejabat saya akan mengadakan bacaan Yassin. Saya membawa sebotol air Yassin ke hospital untuk diberikan kepada tok. Walaupun beliau tidak boleh minum sekurang-kurangnya kulitnya sentiasa dibasahi dengan air Yassin. Semoga diberikan kekuatan dan mengurangkan kesakitan yang dirasainya. Insya Allah.. Kebetulan Pak Ngah saya (anak lelaki kedua) juga mengadakan bacaan Yassin di Masjid Taman Ria. Juga untuk memohon supaya tok cepat sembuh dan boleh membebel kepada kami seperti sediakala..(inilah satu-satunya tok yang saya ada dan yang paling sporting dengan cucu-cucunya).

Habis waktu kerja, saya dan en. husband bergegas ke hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani untuk melihat keadaan tok selepas pembedahan. Ketika kami sampai ke wad, ramai ahli keluarga berada di sana termasuk Pak Long yang tinggal di Pahang. Beliau tiba di hospital pagi tadi. Sayangnya beliau tidak sempat melihat dan bercakap dengan tok sebelum pembedahan. Tak apalah Pak Long, yang penting doa yang berpanjangan untuk tok. Itulah yang tok minta sebelum pembedahan dilakukan. Hari ini suasana tidak hiba dan suram macam semalam. Semua ahli keluarga kembali bersemangat. Tumpang semangat yang kuat dari tok sendiri. Tok selamat menjalani pembedahan walaupun tidak sedarkan diri. Mungkin kesan dari ubat bius dan badan tok yang lemah akibat tidak makan beberapa hari sebelum pembedahan.

Hasil daripada pembedahan pagi tadi, doktor memaklumkan bahawa terdapat seketul nanah di dalam perut dan telah pecah dalam seminggu yang lalu. Dan hasil telitiannya mendapati tok juga telah diberi salah ubat dua minggu yang lalu di sebuah klinik swasta. Di mana ketika itu tok demam dan tangannya strok. Doktor tersebut telah memberikan ubat strok yang sangat kuat dan tidak sesuai dengan usianya yang semakin lanjut. Selain itu, ubat strok tersebut sepatutnya diberikan bersama dengan ubat angin. Dan doctor tersebut tidak berbuat demikian. Ahli keluarga berasa agak terkilan dengan kenyataan ini. Dimanakah profesionalisma seorang doktor dalam merawat pesakitnya? Dimanakah ketelitian dan keprihatan seorang doktor dalam memberi ubat bagi mengubati pesakitnya? Tambah lagi klinik yang di refer itu adalah klinik yang berbayar bukan free of charge. Kemungkinan juga ubat yang sangat kuat itu menyebabkan nanah tersebut pecah. Positifnya : mungkin ini dugaan Tuhan.

Tok sangat kuat semangat sebab ketakutan yang menghantui diri setiap ahli keluarga untuk membenarkan tok di bius( prosedur yang perlu dilalui sebelum pembedahan), hilang begitu sahaja. Penerangan doktor bahawa sekiranya pesakit tidak kuat semangat dan imun badan yang rendah, risiko untuk meninggal adalah sangat tinggi ketika ubat bius di suntik. Ternyata tok kuat semangat.

Hari ini, ketika saya melawat beliau, muka dan tubuh badannya agak bengkak. Beliau bernafas melalui tiub oksigen yang disalurkan dimulutnya. Wayar berselirat di tangan dan badannya. Sesekali mulutnya bernafas agak kuat. Sesekali juga ternampak kening terangkat. Mungkin tok sedar tapi tidak dapat bergerak. Hanya alunan Al-Fatihah dan dua kalimah Syahadah yang dapat kami hadiahkan di tepi telinga tok ketika ini. Semoga tok mendengar dan tahu kami semua sentiasa ada di sisi tok ketika ini.

Tiada ulasan:

Entri Popular