Isnin, 17 Disember 2012

~ Tabahnya hati seorang IBU (part i)



Sebak dada melihat ketabahan seorang ibu menahan kesakitan tanpa sedikitpun keluhan. Dikelilingi anak-anak, cucu-cucu dan cicit. Kata dua diberikan oleh doktor-doktor pakar sama ada nak melakukan pembedahan atau biar beliau menanggung kesakitan begitu sahaja di wad biasa. Pembedahan perlu dilakukan bagi mengetahui punca beliau tidak boleh membuang air kecil, tidak kentut, tidak berak, sesak dada dan sakit di bahagian perut. Namun risiko sangat tinggi sekiranya pembedahan dilakukan kerana beliau sudah berumur 83 tahun, buah pinggang yang sudah tidak berfungsi, jantung lemah dan tekanan darah sangat rendah iaitu 60/40. Sangat rendah berbanding sepatutnya dan beliau juga mengadap darah tinggi serta strok ringan (hanya melibatkan jari dan tangan). Selain itu, jika ketahanan badan rendah dan semangat kurang kuat untuk sembuh kemungkinan juga pesakit boleh meninggal ketika ubat bius diberikan sebelum sempat pembedahan dijalankan.

Sekiranya bersetuju pembedahan dilakukan, beliau perlu dimasukkan ke ICU untuk jagaan rapi oleh pakar dan anak-anak tidak dibenarkan masuk/ jaga kecuali waktu lawatan. Beliau perlu dimasukkan ke ICU terlebih dahulu bagi memastikan tekanan darah beliau stabil sebelum boleh dibedah. Ketika sesi penerangan diberikan oleh doktor-doktor pakar kepada anak-anaknya, beliau turut mendengar. Seketika saya Nampak mulut beliau seperti berkata sesuatu. Terus saya memanggil ibu saya. Beliau memberitahu supaya pembedahan dilakukan kerana beliau sangat lemah. Kemungkinan juga beliau tidak tahan dengan kesakitan yang ditanggungya.

Anak-anak, masing-masing kelihatan kebingungan dan sedih. Ketika ini, semua anak-anak dan cucu-cucu menangis dan ada yang berpelukan… suasana hiba dan pilu makin terasa di wad Kenanga 2. Anak-anak dan cucu mula membaca surah Yassin di telinga beliau. Ternampak mulut beliau turut mengikut alunan sebutan ayat-ayat Al-Quran yang di cuping telinga beliau. Anak-anak dan cucu turut berbisik di tepi telinga beliau mengajar melafazkan kalimah Syahadah. Beliau ikut menyebutnya. Lancar…itulah yang dipohon oleh beliau kepada anak-anaknya. “ajarlah aku” (lafaz kalimah syahadah supaya beliau tidak lupa dan boleh melafazkannya setiap waktu). Hiba…

Sesekali anak-anak berkumpul dan seperti berbincang. Berjumpa doktor buat kali kedua dan ketiga. Doktor juga memberi kerjasama yang baik walaupun soalan yang sama diajukan tetapi doktor tetap menjawabnya dengan penuh sabar dan dedikasi. Mungkin doktor-doktor sudah lali dengan keadaan itu. Terima kasih doktor kerana sentiasa ada ketika ini. Seketika kemudian anak lelaki kedua beliau mendekatinya dan mengajukan soalan “ betul ka mak nak buat pembedahan nie?”. Kemudian anaknya dekatkan muka ke muka ibunya dan bercakap sesuatu. Mungkin memberi penerangan tentang risiko pembedahan tersebut dan kata-kata semangat buat ibu tercinta. Satu kucupan di dahi dan pipi dihadiahkan kepada ibunya. Menitis airmata lelakinya. Hiba dengan keadaan terdesak dan keputusan ‘paksa rela’ itu. Seketika terdengar si ibu berkata “ buatla. Aku redha. Apa-apa pun yang berlaku itu adalah ketentuan dariNya. Semua orang akan hadapi saat-saat nie. Yang hidup akan mati. Cepat atau lambat sahaja. Kalau aku takda pun, hampa berdoalah untuk aku. Aku minta maaf...bla2..bla2..bla…(saya dah tak sanggup dengar kata-kata seterusnya, lari membelakangkan beliau). Anak-anak dan cucu-cucu lain mendengar penuh khusyuk  tanpa sepatah kata. Diam seribu bahasa. Mungkin amanat terakhir beliau atau sebaliknya (saya harap ini bukan kali terakhir saya mendengar suara beliau, semoga Allah kuatkan semangat perjuangan beliau untuk meneruskan kehidupan ini. Amin)

Akhirnya anak-anak beliau bersetuju untuk melepaskan ibu mereka menjalankan pembedahan. Ini adalah ikhtiar!!! Dua orang waris perlu menandatangi surat kebenaran melakukan pembedahan yang doktor berikan. Begitu juga pesakit. Memandangkan beliau lemah, hanya cap cari diturunkan ke atas surat kebenaran tersebut. “Alhamdulillah!” ada nada ceria dalam ucapan syukurnya. Mungkin beliau gembira anak-anak telah bersetuju beliau di bedah. Terima kasih berkali-kali ditujukan kepada pegawai yang mengambil cap jarinya dan merawatnya.

Waktu lawatan sudah habis. Pak guard sudah memberi isyarat. Masa ini hanya tinggal ahli keluarga saya. Semua pelawat katil lain sudah lama beredar. Pak guard juga seperti member peluang untuk kami semua luangkan masa untuk pesakit. Walaubagaimanapun, kami perlu menghormati peraturan hospital. lagipun doctor sudah member peluang kepada ahli keluarga kami untuk masuk awal ke wad bagi bersama pesakit. Sebelum beredar, semua anak-anak dan cucu-cucu member kata-kata semangat di tepi telinga beliau dan mengahdiah kucupan demi kucupan di dahi dan pipi beliau. Beliau juga tak putus-putus mengucapkan “Alhamdulillah”. Mungkin tanda beliau rasa disayangi oleh semua anak-anak dan cucu-cucu disekelilingnya. Beliau sangat tabah…tiada setitis airmata pun yang keluar dari matanya. Malah mulutnya terkumat kamit memberikan kata-kata semangat kepada anak-anak dan cucu-cucunya. Walaupun keadaannya sangat lemah ketika itu. Terima kasih tok…”semua sayang tok! Mi pun sayang tok!..tok mengucap banyak-banyak ya”. Beliau terus melafazakan kalimah syahadah. Dua kali…ya beliau sangat TABAH….

Ini cerita semalam…

Tiada ulasan:

Entri Popular