Isnin, 24 Disember 2012

Tabahnya Hati Seorang IBU (part iv - sambungan)

Balai Menunggu yang disediakan oleh Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani untuk waris-waris pesakit berehat dan bermalam.
Pelbagai kemudahan disediakan bagi keselesaan dan kemudahan waris yang menunggu termasuk ruang untuk tidur, ruang cuci pakaian dan ruang jemuran.
Dapur yang dilengkapi dengan ruang mencuci pinggan dan meja makan.
Anak menantu arwah yang setia menanti perkembangan kesihatan arwah di Balai Menunggu.
Surau turut disediakan di Balai Menunggu bagi memudahkan waris menjalani ibadah. dilengkapi dengan telekung, sejadah dan Al-Quran.
Ibu dan adik Ina yang baru keluar dari wad ICU. Hanya 2 orang pelawat dibenarkan melawat pesakit dalam satu-satu masa. Sebelum masuk ke wad, pelawat perlu menulis nama, pesakit, hubungan pelawat dengan pesakit dan waktu lawatan di kaunter yang berwarna hijau tue.
Masuk hari ini sudah empat hari beliau meninggalkan kami di dunia yang fana ini. Kenangan bersama beliau sentiasa bermain di fikiran. Setiap kali saya pejam mata untuk tidur, setiap kali juga wajahnya muncul bersama kenangan-kenangan yang tidak dapat saya lupakan. Hanya doa yang dapat saya berikan setiap kali teringatkan beliau. Dan ketika entri ini ditaip, saya baru mendapat satu kekuatan dan semangat untuk meneruskan aktiviti kehidupan yang semakin mencabar dan penuh dugaan.

Untuk pengetahuan korang, arwah tok saya dimasukkan ke hospital pada 14 Disember 2012 (Jumaat).

15 Disember 2012 –      Saya, en. suami dan anak-anak melawat arwah yang ketika itu masih ditempatkan di wad biasa (Kenanga 2). Hari ini doktor memberi penerangan tentang penyakit yang dihadapi oleh beliau dan rawatan yang boleh dilakukan iaitu pembedahan di bahagian perut. Arwah dan ahli keluarga bersetuju untuk dilakukan pembedahan walaupun risiko pembedahan adalah tinggi. Sebelum pulang, semua ahli keluarga mengangkat tangan dan memohon doa kepadaNya supaya arwah selamat menjalani pembedahan dan dipanjangkan umur. Saya sempat mengucup dahi dan pipi arwah.

16 Disember 2012 –      Pembedahan selamat dijalankan jam 1 pagi dan arwah koma. Saya memohon pegawai-pegawai di pejabat saya niatkan doa untuk kesihatan arwah ketika bacaan Yassin diadakan di pejabat. Saya juga membawa air Yassin ke hospital untuk arwah.  Selepas waktu kerja, saya dan en. suami melawat arwah yang ketika itu ditempatkan di ICU 2. Beliau masih tidak sedarkan diri. Saya membacakan surah Al-Fatihah, Dua Kalimah Syahadah dan membisikkan kata-kata semangat di tepi telinga arwah.

17 Disember 2012 –      Hari ini saya ada mesyuarat di Sungai Petani. Pada waktu rehat tengahari, saya bergegas ke hospital untuk melawat arwah. Keadaan arwah separa sedar. Arwah boleh mendengar tapi belum mampu bergerak dan membuka mata. Saya membacakan surah Al-Fatihah, Dua Kalimah Syahadah dan membisikkan kata-kata semangat di tepi telinga arwah.

18 Disember 2012 –      Hari ini saya masih ada mesyuarat di Sungai Petani. Selepas mesyuarat, saya terus ke hospital tetapi ketika saya sampai jam sudah pukul 2.00 petang. Waktu melawat sudah habis. Saya dan mak lang saya cuba mendapatkan kebenaran mak guard hospital untuk melawat arwah. Namun mak guard tidak membenarkan saya masuk. Saya mengambil keputusan untuk menunggu waktu melawat jam 4.30 petang. Saya menunggu di balai menunggu bersama ahli keluarga yang lain. Anak-anak arwah memang menunggu arwah dibalai menunggu yang disediakan oleh pihak hospital sejak arwah dimasukkan ICU. Tepat jam 4.30 petang saya masuk melawat. Arwah separa sedar tapi hari ini arwah kerap terkejut. (lihat Tabahnya Hati Seorang IBU (part iii)
                                                                                                                  
19 Disember 2012 –      Hari ini saya ada mesyuarat jam 2.30 petang di Yan. Sebelum ke Yan, saya ke hospital untuk melawat arwah. Ketika saya berjalan masuk ke wad, mata kiri saya bergerak, kerap. Terdetik di hati saya pasti ada benda sedih akan berlaku. Dan wajah arwah bermain di fikiran saya. Tekanan darah arwah yang semakin merosot..Astagfirullahalazim…saya buang jauh-jauh anggapan tu.

20 Disember 2012 –      Hari ini saya dan en. suami perlu menghantar adik saya ke UKM, Bangi. Pagi ini adik saya ada temuduga AADK di Alor Setar. Jadi kami perlu bertolak pada waktu tengahari supaya tiba di UKM pada malamnya. Mengikut perancangan yang telah dibuat, kami akan bermalam di Bangi dan pada petang keesokkannya adik saya perlu membuat presentation untuk subjek yang diambilnya. Selepas presentation kami akan membawanya pulang ke Kedah kerana kelas beliau bercuti selama seminggu (studyweek). Sebelum bertolak pada waktu tengaharinya saya bercadang untuk melawat arwah terlebih dahulu. Tetapi saya tidak sempat berbuat demikian kerana jam 2 petang kami baru bertolak dari Alor Setar. Waktu melawat ICU adalah jam 12.30 – 2.00 petang.

Jam 9.00 malam, kami tiba di UKM, Bangi dan mencari hotel untuk menginap. Ada bilik hotel yang boleh di ‘check in’ tapi saya dan en. suami mengambil keputusan untuk mengisi perut terlebih dahulu di restoran berdekatan sambil berbincang hotel mana yang hendak kami menginap. Selepas makan kami mendapat sms daripada sepupu dan adik ketiga saya memaklumkan bahawa arwah sudah meninggal dunia jam 9 malam. Saya, en. suami dan adik-adik saya terdiam. Masing-masing tiada kata-kata yang dapat diucapkan. Bertolak semula ke asrama UKM. Adik saya berbincang dengan kawan-kawan sekuliahnya tentang presentation yang perlu mereka lakukan keesokkannya. Setelah kata sepakat dibuat, adik saya memaklumkan bahawa beliau juga akan turut pulang bersama kami pada malam itu juga.

21 Disember 2012 –      Kami bertolak pulang ke Kedah. Pada malam itu, saya dan en. suami rasa sangat mengantuk. Mengantuk yang tak dapat ditahan-tahan. Kami berhenti di RNR untuk melelapkan mata 1 hingga 2 jam dan solat Isyak. Sekadar ingin menghilangkan mengantuk, tapi en. suami tidak dapat lena. Adik-adik saya sempat membacakan surah Yassin untuk arwah. Anak-anak saya lena di buai mimpi di dalam kereta tanpa banyak karenah.

Dalam perjalanan sekali lagi en. suami berhenti di tepi lebuhraya untuk tidur. Nasib baik ada banyak juga kenderaan berat yang berhenti di tepi lebuhraya tersebut. Kiri kanan lebuhraya adalah hutan, gelap. Tiba-tiba Aleesya terjaga dan meragam. Saya biarkan en. suami melelapkan mata. Kami meneruskan perjalanan dan singgah di RNR Sungai Perak jam 5.30 pagi. Mengikut perkiraan en. suami, kalau kami mandi, solat dan mimum pagi sebelum bertolak kami sempat sampai ke Sungai Petani jam 9 pagi. Maka sempatlah kami melihat arwah buat kali terakhir sebelum arwah dimandikan jam 10 pagi dan disembahyangkan jam 11 pagi.

Walaubagaimanapun, selepas solat saya dan en. suami membeli air dan roti untuk dimakan di dalam kereta. Kami perlu kejar masa. Pada mulanya perjalanan kami lancar sehinggalah kami tiba di Simpang Ampat, Tambun. Trafik di lebuhraya amat perlahan dan screen di lebuhraya tersebut menyatakan ada kemalangan berlaku. Saya agak kemalangan itu berlaku berdekatan sahaja rupanya bermula trafik menjadi perlahan ke tempat kemalangan itu berlaku lebih kurang 2 kilometer. Hampir 1 jam kami terkandas dalam kesesakan lalulintas. En. suami mengambil keputusan untuk keluar di susur keluar Simpang Ampat dan melalui jalan biasa dan masuk semula ke lebuhraya melalui tol Juru untuk menjimatkan masa. Setelah keluar dari lebuhraya, tiba-tiba en. suami tidak tahu arah jalan menuju ke Juru. Akhirnya kami masuk semula ke lebuhraya dan mengharungi semula kesesakan lalulintas yang berlaku. Rupanya sebuah bas kilang dan sebuah kereta terjatuh ke bawah bukit di tepi lebuhraya. Ketika kami melalui kawasan kemalangan tersebut, bas dan kereta tersebut telah berjaya di angkat dengan bantuan sebuah kren ke atas lebuhraya semula.

Kenapalah kemalangan ini berlaku ketika ini hinggakan menghalang perjalanan kami pulang dengan lancar. Pelbagai andaian muncul di fikiran saya. Saya ada buat salah dengan arwahkah sehinggakan saya tidak dapat menatap wajahnya buat kali terakhir. Entah..saya tiada jawapan. Ketika kami tiba, jenazah telah siap dikapankan. Saya redha…walaupun saya tidak dapat menatap wajahnya buat kali terakhir sekurang-kurangnya saya dapat bercakap dan menatap wajah arwah hari-hari sebelum arwah meninggalkan kami semua. Barulah saya sedar kenapa saya berat hati untuk menghantar adik saya balik ke UKM. Inilah dugaan yang perlu saya hadapi. Pasti ada hikmahnya di sebaliknya. Hanya doa yang mampu di hadiahkan untuk arwah. Semoga arwah sentiasa dirahmati olehNya. Amin..




Tiada ulasan:

Entri Popular