Rabu, 26 Disember 2012

Manggi KARI senang dimasak, sedap dimakan. :)


Biasanya kami sekeluarga  makan malam sebelum jam 8. Menurut pakar kesihatan dalam rumah nie (en suami la tue ngee...), untuk mengamalkan diet pemakanan secara sihat, perlu makan sebelum jam 8 malam. Jadi kami sekeluarga dah terbiasa makan awal ketika di rumah. Tapi kalau balik kampung belasah jugak makan malam jam 8-9-10. (kena ikut rutin harian tuan rumahla iaitu mak ayah dan mak abah).

Petang tadi en suami dah pekena sepinggan nasi goreng kampung. Saya tumpang makan dua tiga mulut jer. Dah tue plak, nasi goreng kampung yang dibeli oleh en suami banyaknya boleh makan untuk dua orang. Mungkin kami sekeluarga dah jadi pelanggan tetap kedai makan dia, jadi tiap kali beli apa-apa menu makanan pun pasti boleh makan untuk dua orang. Untungkan! Hehe...terima kasih yer tauke kedai...nanti kami promote kat orang yer kedai kamu...:)

Lepas makan petang tadi, en suami siram pokok-pokok bunga di laman. Lepas tue, ber ‘gaduh-gaduh’ dengan Amani dan Aleesya. Angkat tilam dari bilik ke ruang tamu. Kami sekeluarga suka tidur di ruang tamu daripada bilik. Bilik tidur macam panas dan berkuap (loghat orang Kedah. Maksudnya sangat panas sampai berpeluh-peluh badan). Walaupun pasang air-cond tapi udaranya macam tak segar. Agaknya kena tanam pokok hidup dalam bilik bagi mendapatkan bekalan oksigen yang cukup dan dapat menyegarkan udara. Lepas solat en suami landing-landing kat tilam sambil tengok TV dengan Amani. Aleesya dah nyenyak tidur dibuai mimpi dalam buaiannya.

Saya pun masuk bilik solat. Tengah saya solat tue,saya dapat rasa ada orang sekejap di tepi saya sekejap di belakang saya. Kekadang terasa kena sigong (loghat Kedah lagi. Maksudnya hujung siku ‘seseorang tue’ terkena saya). Masih khusyuk yer solat saya. Huhu...habis jer solat, rupanya budak cinonet nie.


Taraaaa!!! cinonet Amani nie dalam senyap-senyap dia tue rupanya  dok tengah menerai (bahasa kamusnya..cuba) t.shirt dan stoking kerja abah. Anak tudung kuning tue ibu punya tau Amani. ingat tudung saiz bebudak ke tue? ngeee
Abah dia pulak tengah sibuk di dapur. Patutla cinonet nie seronok buat aktiviti dia tanpa gangguan. Tengokla apa si abah buat di dapur saya tue.


Makan tue tak pandang kiri kanan langsung. Lapar sangat ke? Nie nak kenyangkan perut ker, nak ‘membesarkan’ badan. Ingat lagi..dulu masa mula-mula kahwin, Maggie jangan haraplah boleh ada di dapur. Makanan segera tak sihat katanya. Kalau teringin sangat-sangat pun memang tak kasi makan punyalah. Tensionnya rasa. Kenapala skema sangat pakar pemakanan saya nie..kalo ye pun kerja kat pejabat kesihatan, apa salahnya kekadang ‘bantai’ sepeket dua mee segera nie. Bukan setakat mee segera, sardin, laici buah dalam tin dan semua makanan segera yang dibungkus tak dikasinya beli atau makam. Tapi yang syoknya KFC, Mc D bolehla plak makan…huhu…disebabkan saya nie isteri yang solehah memang saya tak sentuhla makanan-makanan tue walaupun boleh order kat kedai. (arwah tok saya ajar. Kalau tak boleh makan kat rumah pergi la makan kat kedai sesorang tanpa pengetahuan pakar pemakanan saya tue…hehe).


keranamu MAGGI


Kira hampir dua hingga tiga tahun jugakla macam tue. Lepas pada tue, ‘garispanduan’ tue dah boleh dipertimbangkan mengikut keadaan…haha…kiranya saya dah boleh beli stok sardine, Tuna, Maggie dan yang lain-lain. Yeeea haaa!

Tapi malam nie dia plak yang melebih…tengok tue..makan sampai tak nampak anak kat bawah meja…sian Aleesya…ibu awak pulak sibuk mengambil gambar abah yang khusyuk makan tue sampai tak hengat dunia ….huhu..









Isnin, 24 Disember 2012

Tabahnya Hati Seorang IBU (part iv - sambungan)

Balai Menunggu yang disediakan oleh Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani untuk waris-waris pesakit berehat dan bermalam.
Pelbagai kemudahan disediakan bagi keselesaan dan kemudahan waris yang menunggu termasuk ruang untuk tidur, ruang cuci pakaian dan ruang jemuran.
Dapur yang dilengkapi dengan ruang mencuci pinggan dan meja makan.
Anak menantu arwah yang setia menanti perkembangan kesihatan arwah di Balai Menunggu.
Surau turut disediakan di Balai Menunggu bagi memudahkan waris menjalani ibadah. dilengkapi dengan telekung, sejadah dan Al-Quran.
Ibu dan adik Ina yang baru keluar dari wad ICU. Hanya 2 orang pelawat dibenarkan melawat pesakit dalam satu-satu masa. Sebelum masuk ke wad, pelawat perlu menulis nama, pesakit, hubungan pelawat dengan pesakit dan waktu lawatan di kaunter yang berwarna hijau tue.
Masuk hari ini sudah empat hari beliau meninggalkan kami di dunia yang fana ini. Kenangan bersama beliau sentiasa bermain di fikiran. Setiap kali saya pejam mata untuk tidur, setiap kali juga wajahnya muncul bersama kenangan-kenangan yang tidak dapat saya lupakan. Hanya doa yang dapat saya berikan setiap kali teringatkan beliau. Dan ketika entri ini ditaip, saya baru mendapat satu kekuatan dan semangat untuk meneruskan aktiviti kehidupan yang semakin mencabar dan penuh dugaan.

Untuk pengetahuan korang, arwah tok saya dimasukkan ke hospital pada 14 Disember 2012 (Jumaat).

15 Disember 2012 –      Saya, en. suami dan anak-anak melawat arwah yang ketika itu masih ditempatkan di wad biasa (Kenanga 2). Hari ini doktor memberi penerangan tentang penyakit yang dihadapi oleh beliau dan rawatan yang boleh dilakukan iaitu pembedahan di bahagian perut. Arwah dan ahli keluarga bersetuju untuk dilakukan pembedahan walaupun risiko pembedahan adalah tinggi. Sebelum pulang, semua ahli keluarga mengangkat tangan dan memohon doa kepadaNya supaya arwah selamat menjalani pembedahan dan dipanjangkan umur. Saya sempat mengucup dahi dan pipi arwah.

16 Disember 2012 –      Pembedahan selamat dijalankan jam 1 pagi dan arwah koma. Saya memohon pegawai-pegawai di pejabat saya niatkan doa untuk kesihatan arwah ketika bacaan Yassin diadakan di pejabat. Saya juga membawa air Yassin ke hospital untuk arwah.  Selepas waktu kerja, saya dan en. suami melawat arwah yang ketika itu ditempatkan di ICU 2. Beliau masih tidak sedarkan diri. Saya membacakan surah Al-Fatihah, Dua Kalimah Syahadah dan membisikkan kata-kata semangat di tepi telinga arwah.

17 Disember 2012 –      Hari ini saya ada mesyuarat di Sungai Petani. Pada waktu rehat tengahari, saya bergegas ke hospital untuk melawat arwah. Keadaan arwah separa sedar. Arwah boleh mendengar tapi belum mampu bergerak dan membuka mata. Saya membacakan surah Al-Fatihah, Dua Kalimah Syahadah dan membisikkan kata-kata semangat di tepi telinga arwah.

18 Disember 2012 –      Hari ini saya masih ada mesyuarat di Sungai Petani. Selepas mesyuarat, saya terus ke hospital tetapi ketika saya sampai jam sudah pukul 2.00 petang. Waktu melawat sudah habis. Saya dan mak lang saya cuba mendapatkan kebenaran mak guard hospital untuk melawat arwah. Namun mak guard tidak membenarkan saya masuk. Saya mengambil keputusan untuk menunggu waktu melawat jam 4.30 petang. Saya menunggu di balai menunggu bersama ahli keluarga yang lain. Anak-anak arwah memang menunggu arwah dibalai menunggu yang disediakan oleh pihak hospital sejak arwah dimasukkan ICU. Tepat jam 4.30 petang saya masuk melawat. Arwah separa sedar tapi hari ini arwah kerap terkejut. (lihat Tabahnya Hati Seorang IBU (part iii)
                                                                                                                  
19 Disember 2012 –      Hari ini saya ada mesyuarat jam 2.30 petang di Yan. Sebelum ke Yan, saya ke hospital untuk melawat arwah. Ketika saya berjalan masuk ke wad, mata kiri saya bergerak, kerap. Terdetik di hati saya pasti ada benda sedih akan berlaku. Dan wajah arwah bermain di fikiran saya. Tekanan darah arwah yang semakin merosot..Astagfirullahalazim…saya buang jauh-jauh anggapan tu.

20 Disember 2012 –      Hari ini saya dan en. suami perlu menghantar adik saya ke UKM, Bangi. Pagi ini adik saya ada temuduga AADK di Alor Setar. Jadi kami perlu bertolak pada waktu tengahari supaya tiba di UKM pada malamnya. Mengikut perancangan yang telah dibuat, kami akan bermalam di Bangi dan pada petang keesokkannya adik saya perlu membuat presentation untuk subjek yang diambilnya. Selepas presentation kami akan membawanya pulang ke Kedah kerana kelas beliau bercuti selama seminggu (studyweek). Sebelum bertolak pada waktu tengaharinya saya bercadang untuk melawat arwah terlebih dahulu. Tetapi saya tidak sempat berbuat demikian kerana jam 2 petang kami baru bertolak dari Alor Setar. Waktu melawat ICU adalah jam 12.30 – 2.00 petang.

Jam 9.00 malam, kami tiba di UKM, Bangi dan mencari hotel untuk menginap. Ada bilik hotel yang boleh di ‘check in’ tapi saya dan en. suami mengambil keputusan untuk mengisi perut terlebih dahulu di restoran berdekatan sambil berbincang hotel mana yang hendak kami menginap. Selepas makan kami mendapat sms daripada sepupu dan adik ketiga saya memaklumkan bahawa arwah sudah meninggal dunia jam 9 malam. Saya, en. suami dan adik-adik saya terdiam. Masing-masing tiada kata-kata yang dapat diucapkan. Bertolak semula ke asrama UKM. Adik saya berbincang dengan kawan-kawan sekuliahnya tentang presentation yang perlu mereka lakukan keesokkannya. Setelah kata sepakat dibuat, adik saya memaklumkan bahawa beliau juga akan turut pulang bersama kami pada malam itu juga.

21 Disember 2012 –      Kami bertolak pulang ke Kedah. Pada malam itu, saya dan en. suami rasa sangat mengantuk. Mengantuk yang tak dapat ditahan-tahan. Kami berhenti di RNR untuk melelapkan mata 1 hingga 2 jam dan solat Isyak. Sekadar ingin menghilangkan mengantuk, tapi en. suami tidak dapat lena. Adik-adik saya sempat membacakan surah Yassin untuk arwah. Anak-anak saya lena di buai mimpi di dalam kereta tanpa banyak karenah.

Dalam perjalanan sekali lagi en. suami berhenti di tepi lebuhraya untuk tidur. Nasib baik ada banyak juga kenderaan berat yang berhenti di tepi lebuhraya tersebut. Kiri kanan lebuhraya adalah hutan, gelap. Tiba-tiba Aleesya terjaga dan meragam. Saya biarkan en. suami melelapkan mata. Kami meneruskan perjalanan dan singgah di RNR Sungai Perak jam 5.30 pagi. Mengikut perkiraan en. suami, kalau kami mandi, solat dan mimum pagi sebelum bertolak kami sempat sampai ke Sungai Petani jam 9 pagi. Maka sempatlah kami melihat arwah buat kali terakhir sebelum arwah dimandikan jam 10 pagi dan disembahyangkan jam 11 pagi.

Walaubagaimanapun, selepas solat saya dan en. suami membeli air dan roti untuk dimakan di dalam kereta. Kami perlu kejar masa. Pada mulanya perjalanan kami lancar sehinggalah kami tiba di Simpang Ampat, Tambun. Trafik di lebuhraya amat perlahan dan screen di lebuhraya tersebut menyatakan ada kemalangan berlaku. Saya agak kemalangan itu berlaku berdekatan sahaja rupanya bermula trafik menjadi perlahan ke tempat kemalangan itu berlaku lebih kurang 2 kilometer. Hampir 1 jam kami terkandas dalam kesesakan lalulintas. En. suami mengambil keputusan untuk keluar di susur keluar Simpang Ampat dan melalui jalan biasa dan masuk semula ke lebuhraya melalui tol Juru untuk menjimatkan masa. Setelah keluar dari lebuhraya, tiba-tiba en. suami tidak tahu arah jalan menuju ke Juru. Akhirnya kami masuk semula ke lebuhraya dan mengharungi semula kesesakan lalulintas yang berlaku. Rupanya sebuah bas kilang dan sebuah kereta terjatuh ke bawah bukit di tepi lebuhraya. Ketika kami melalui kawasan kemalangan tersebut, bas dan kereta tersebut telah berjaya di angkat dengan bantuan sebuah kren ke atas lebuhraya semula.

Kenapalah kemalangan ini berlaku ketika ini hinggakan menghalang perjalanan kami pulang dengan lancar. Pelbagai andaian muncul di fikiran saya. Saya ada buat salah dengan arwahkah sehinggakan saya tidak dapat menatap wajahnya buat kali terakhir. Entah..saya tiada jawapan. Ketika kami tiba, jenazah telah siap dikapankan. Saya redha…walaupun saya tidak dapat menatap wajahnya buat kali terakhir sekurang-kurangnya saya dapat bercakap dan menatap wajah arwah hari-hari sebelum arwah meninggalkan kami semua. Barulah saya sedar kenapa saya berat hati untuk menghantar adik saya balik ke UKM. Inilah dugaan yang perlu saya hadapi. Pasti ada hikmahnya di sebaliknya. Hanya doa yang mampu di hadiahkan untuk arwah. Semoga arwah sentiasa dirahmati olehNya. Amin..




~ Tabahnya hati seorang IBU (part iii)



Alhamdulillah…Tok dah sedar subuh tadi. Walaupun separa sedar sekurang-kurangnya beliau boleh mendengar dan memberi tindakbalas positif. Beliau juga selalu terkejut. Saya dimaklumkan bahawa pagi tadi doctor mengikat kedua-dua belah tangan dan kaki di katil kerana beliau terkejut agak kuat. Walaubagaimanapun, petang tadi ketika saya melawatnya doctor dah membuang ikatan tersebut. Mungkin gegaran akibat beliau terkejut berkurangan. Bengkak di muka, tangan dan kaki beliau juga semakin berkurangan berbanding semalam. Namun kaki kirinya tidak dapat bergerak. Doktor memasang dua buah lampu kecil di hujung kaki beliau kerana oksigen tak sampai ke kaki. Lampu tersebut berfungsi bagi membantu mengalirkan oksigen ke kaki. Bagaimana prosesnya saya kurang pasti. Itula yang nurse beritahu tadi tapi saya tak sempat bertanya banyak sebab ada orang lain yang nak masuk melawat tok. Wad ICU hanya dibenarkan dua orang pelawat sahaja melawat pesakit dalam satu-satu masa. Jadi saya terpaksa keluar bagi memberi peluang kepada ahli keluarga yang lain masuk melawat.

Semasa saya melawat beliau, saya lihat beliau banyak kali terkejut. Setiap kali terkejut, hanya badan, kedua-dua belah tangan dan kepala sahaja bergerak kuat. Tekanan darahnya juga agak rendah dengan bacaan 97/53 berbanding semalam dengan bacaan 106/64. Saya sempat melakukan ujian pendengaran dan tindakbalas kepada beliau.

Ujian pertama : apabila saya membaca Al-Fatihah dan mengucap dua kalimah syahadah, beliau diam. Tidak terkejut. Mungkin beliau dengar.

Ujian kedua : apabila saya tanya “tok…tok dengar tak mi cakap. Kalau tok dengar mi cakap, tok kejit mata”. Beliau kejit mata. Maknanya beliau dengar dan faham serta boleh memberi tindakbalas positif.

Saya nak pasti lagi. Saya cuba lagi. Sebab kadang-kadang mata beliau terkejit-kejit juga. Sebelum saya bertanya, saya pastikan beliau tenang dan matanya tidak terkejit. Sekali lagi saya tanya soalan yang sama.

“tok…tok dengar tak mi cakap. Kalau tok dengar mi cakap, tok kejit mata”. Beliau kejit mata. Hati saya sedikit berbunga sebab responnya yang positif. J

Agak lama saya diam. Saya perhatikan wayar-wayar yang berselirat di tubuhnya. Mesin-mesin di kiri kanannya. Saya ternampak kantung plastik berisi air kecil. Beliau sudah boleh membuang air kecil. J. Di sebelah kanannya ada satu kantung plastik lagi. Saya difahamkan kantung plastik tersebut berisi darah dan nanah yang masih ada di dalam perut beliau dan ia keluar sedikit-sedikit. Sekali lagi saya cuba melihat respon daripada beliau. Saya tanya soalan yang sama.

“tok…tok dengar tak mi cakap. Kalau tok dengar mi cakap, tok kejit mata”. Kali ini beliau terkejut. Badan, tangan dan kepalanya bergegar. Kuat. Tapi mulutnya seperti ingin katakan sesuatu. Tapi beliau tak mampu berbuat demikian. Wayar oksigen yang dimasukkan ke dalam mulut dan disalotipkan di atas dan bawah bibir beliau mungkin menganggu pergerakan mulutnya. Sesekali beliau kelihatan seperti nak termuntah. Sedih bila melihat keadaannya begini. Sebelum saya beredar saya bisikkan di telinganya.

 “tok..yus kirim salam. Mi balik dulu. Assalamualaikum”. Beliau tenang…

Sabtu, 22 Disember 2012

Tabahnya Hati Seorang IBU (part iV)

20 Disember 2012 – Jam 9 malam 

Beliau menghembuskan nafas terakhir. Dikelilingi anak-anaknya. Beliau kelihatan tenang. Semoga rohnya dicucuri rahmatNya dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Amin….

Isnin, 17 Disember 2012

~ Tabahnya hati seorang IBU (part ii)



Dan ini cerita hari ini…

Jam 1 pagi, beliau telah berjaya dibedah dengan selamat. Walaubagaimanapun, beliau masih koma dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi 2. Ya semangatnya sangat tinggi. Beliau sangat kuat untuk meneruskan kehidupan bersama ahli-ahli keluarganya. “Alhamdulillah”. Berkat doa anak-anak dan ahli keluarga yang lain. Pagi ini, saya memohon kepada bos kedua di pejabat untuk membacakan Yassin untuk tok saya yang kini sedang berjuang dengan sakitnya di hospital. Alhamdulillah, bos saya pun tiada masalah. Lagipun setiap pagi Ahad, pejabat saya akan mengadakan bacaan Yassin. Saya membawa sebotol air Yassin ke hospital untuk diberikan kepada tok. Walaupun beliau tidak boleh minum sekurang-kurangnya kulitnya sentiasa dibasahi dengan air Yassin. Semoga diberikan kekuatan dan mengurangkan kesakitan yang dirasainya. Insya Allah.. Kebetulan Pak Ngah saya (anak lelaki kedua) juga mengadakan bacaan Yassin di Masjid Taman Ria. Juga untuk memohon supaya tok cepat sembuh dan boleh membebel kepada kami seperti sediakala..(inilah satu-satunya tok yang saya ada dan yang paling sporting dengan cucu-cucunya).

Habis waktu kerja, saya dan en. husband bergegas ke hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani untuk melihat keadaan tok selepas pembedahan. Ketika kami sampai ke wad, ramai ahli keluarga berada di sana termasuk Pak Long yang tinggal di Pahang. Beliau tiba di hospital pagi tadi. Sayangnya beliau tidak sempat melihat dan bercakap dengan tok sebelum pembedahan. Tak apalah Pak Long, yang penting doa yang berpanjangan untuk tok. Itulah yang tok minta sebelum pembedahan dilakukan. Hari ini suasana tidak hiba dan suram macam semalam. Semua ahli keluarga kembali bersemangat. Tumpang semangat yang kuat dari tok sendiri. Tok selamat menjalani pembedahan walaupun tidak sedarkan diri. Mungkin kesan dari ubat bius dan badan tok yang lemah akibat tidak makan beberapa hari sebelum pembedahan.

Hasil daripada pembedahan pagi tadi, doktor memaklumkan bahawa terdapat seketul nanah di dalam perut dan telah pecah dalam seminggu yang lalu. Dan hasil telitiannya mendapati tok juga telah diberi salah ubat dua minggu yang lalu di sebuah klinik swasta. Di mana ketika itu tok demam dan tangannya strok. Doktor tersebut telah memberikan ubat strok yang sangat kuat dan tidak sesuai dengan usianya yang semakin lanjut. Selain itu, ubat strok tersebut sepatutnya diberikan bersama dengan ubat angin. Dan doctor tersebut tidak berbuat demikian. Ahli keluarga berasa agak terkilan dengan kenyataan ini. Dimanakah profesionalisma seorang doktor dalam merawat pesakitnya? Dimanakah ketelitian dan keprihatan seorang doktor dalam memberi ubat bagi mengubati pesakitnya? Tambah lagi klinik yang di refer itu adalah klinik yang berbayar bukan free of charge. Kemungkinan juga ubat yang sangat kuat itu menyebabkan nanah tersebut pecah. Positifnya : mungkin ini dugaan Tuhan.

Tok sangat kuat semangat sebab ketakutan yang menghantui diri setiap ahli keluarga untuk membenarkan tok di bius( prosedur yang perlu dilalui sebelum pembedahan), hilang begitu sahaja. Penerangan doktor bahawa sekiranya pesakit tidak kuat semangat dan imun badan yang rendah, risiko untuk meninggal adalah sangat tinggi ketika ubat bius di suntik. Ternyata tok kuat semangat.

Hari ini, ketika saya melawat beliau, muka dan tubuh badannya agak bengkak. Beliau bernafas melalui tiub oksigen yang disalurkan dimulutnya. Wayar berselirat di tangan dan badannya. Sesekali mulutnya bernafas agak kuat. Sesekali juga ternampak kening terangkat. Mungkin tok sedar tapi tidak dapat bergerak. Hanya alunan Al-Fatihah dan dua kalimah Syahadah yang dapat kami hadiahkan di tepi telinga tok ketika ini. Semoga tok mendengar dan tahu kami semua sentiasa ada di sisi tok ketika ini.

~ Tabahnya hati seorang IBU (part i)



Sebak dada melihat ketabahan seorang ibu menahan kesakitan tanpa sedikitpun keluhan. Dikelilingi anak-anak, cucu-cucu dan cicit. Kata dua diberikan oleh doktor-doktor pakar sama ada nak melakukan pembedahan atau biar beliau menanggung kesakitan begitu sahaja di wad biasa. Pembedahan perlu dilakukan bagi mengetahui punca beliau tidak boleh membuang air kecil, tidak kentut, tidak berak, sesak dada dan sakit di bahagian perut. Namun risiko sangat tinggi sekiranya pembedahan dilakukan kerana beliau sudah berumur 83 tahun, buah pinggang yang sudah tidak berfungsi, jantung lemah dan tekanan darah sangat rendah iaitu 60/40. Sangat rendah berbanding sepatutnya dan beliau juga mengadap darah tinggi serta strok ringan (hanya melibatkan jari dan tangan). Selain itu, jika ketahanan badan rendah dan semangat kurang kuat untuk sembuh kemungkinan juga pesakit boleh meninggal ketika ubat bius diberikan sebelum sempat pembedahan dijalankan.

Sekiranya bersetuju pembedahan dilakukan, beliau perlu dimasukkan ke ICU untuk jagaan rapi oleh pakar dan anak-anak tidak dibenarkan masuk/ jaga kecuali waktu lawatan. Beliau perlu dimasukkan ke ICU terlebih dahulu bagi memastikan tekanan darah beliau stabil sebelum boleh dibedah. Ketika sesi penerangan diberikan oleh doktor-doktor pakar kepada anak-anaknya, beliau turut mendengar. Seketika saya Nampak mulut beliau seperti berkata sesuatu. Terus saya memanggil ibu saya. Beliau memberitahu supaya pembedahan dilakukan kerana beliau sangat lemah. Kemungkinan juga beliau tidak tahan dengan kesakitan yang ditanggungya.

Anak-anak, masing-masing kelihatan kebingungan dan sedih. Ketika ini, semua anak-anak dan cucu-cucu menangis dan ada yang berpelukan… suasana hiba dan pilu makin terasa di wad Kenanga 2. Anak-anak dan cucu mula membaca surah Yassin di telinga beliau. Ternampak mulut beliau turut mengikut alunan sebutan ayat-ayat Al-Quran yang di cuping telinga beliau. Anak-anak dan cucu turut berbisik di tepi telinga beliau mengajar melafazkan kalimah Syahadah. Beliau ikut menyebutnya. Lancar…itulah yang dipohon oleh beliau kepada anak-anaknya. “ajarlah aku” (lafaz kalimah syahadah supaya beliau tidak lupa dan boleh melafazkannya setiap waktu). Hiba…

Sesekali anak-anak berkumpul dan seperti berbincang. Berjumpa doktor buat kali kedua dan ketiga. Doktor juga memberi kerjasama yang baik walaupun soalan yang sama diajukan tetapi doktor tetap menjawabnya dengan penuh sabar dan dedikasi. Mungkin doktor-doktor sudah lali dengan keadaan itu. Terima kasih doktor kerana sentiasa ada ketika ini. Seketika kemudian anak lelaki kedua beliau mendekatinya dan mengajukan soalan “ betul ka mak nak buat pembedahan nie?”. Kemudian anaknya dekatkan muka ke muka ibunya dan bercakap sesuatu. Mungkin memberi penerangan tentang risiko pembedahan tersebut dan kata-kata semangat buat ibu tercinta. Satu kucupan di dahi dan pipi dihadiahkan kepada ibunya. Menitis airmata lelakinya. Hiba dengan keadaan terdesak dan keputusan ‘paksa rela’ itu. Seketika terdengar si ibu berkata “ buatla. Aku redha. Apa-apa pun yang berlaku itu adalah ketentuan dariNya. Semua orang akan hadapi saat-saat nie. Yang hidup akan mati. Cepat atau lambat sahaja. Kalau aku takda pun, hampa berdoalah untuk aku. Aku minta maaf...bla2..bla2..bla…(saya dah tak sanggup dengar kata-kata seterusnya, lari membelakangkan beliau). Anak-anak dan cucu-cucu lain mendengar penuh khusyuk  tanpa sepatah kata. Diam seribu bahasa. Mungkin amanat terakhir beliau atau sebaliknya (saya harap ini bukan kali terakhir saya mendengar suara beliau, semoga Allah kuatkan semangat perjuangan beliau untuk meneruskan kehidupan ini. Amin)

Akhirnya anak-anak beliau bersetuju untuk melepaskan ibu mereka menjalankan pembedahan. Ini adalah ikhtiar!!! Dua orang waris perlu menandatangi surat kebenaran melakukan pembedahan yang doktor berikan. Begitu juga pesakit. Memandangkan beliau lemah, hanya cap cari diturunkan ke atas surat kebenaran tersebut. “Alhamdulillah!” ada nada ceria dalam ucapan syukurnya. Mungkin beliau gembira anak-anak telah bersetuju beliau di bedah. Terima kasih berkali-kali ditujukan kepada pegawai yang mengambil cap jarinya dan merawatnya.

Waktu lawatan sudah habis. Pak guard sudah memberi isyarat. Masa ini hanya tinggal ahli keluarga saya. Semua pelawat katil lain sudah lama beredar. Pak guard juga seperti member peluang untuk kami semua luangkan masa untuk pesakit. Walaubagaimanapun, kami perlu menghormati peraturan hospital. lagipun doctor sudah member peluang kepada ahli keluarga kami untuk masuk awal ke wad bagi bersama pesakit. Sebelum beredar, semua anak-anak dan cucu-cucu member kata-kata semangat di tepi telinga beliau dan mengahdiah kucupan demi kucupan di dahi dan pipi beliau. Beliau juga tak putus-putus mengucapkan “Alhamdulillah”. Mungkin tanda beliau rasa disayangi oleh semua anak-anak dan cucu-cucu disekelilingnya. Beliau sangat tabah…tiada setitis airmata pun yang keluar dari matanya. Malah mulutnya terkumat kamit memberikan kata-kata semangat kepada anak-anak dan cucu-cucunya. Walaupun keadaannya sangat lemah ketika itu. Terima kasih tok…”semua sayang tok! Mi pun sayang tok!..tok mengucap banyak-banyak ya”. Beliau terus melafazakan kalimah syahadah. Dua kali…ya beliau sangat TABAH….

Ini cerita semalam…

Entri Popular